Thursday, February 26, 2009
BUDAYA MENULIS SEBAGAI TANGGUNGJAWAB AMAR MAKRUF NAHI MUNGKAR
Menurut Imam al-Qurtubi, Allah telah menjadikan amar makruf nahi mungkar sebagai garis pemisah di antara orang yang beriman dan orang munafiq. Ia menjadi ciri utama orang beriman iaitu amar makruf nahi mungkar. Pelaksanaan amar makruf nahi mungkar adalah wajib bagi setiap individu selagi tidak tertubuhnya badan atau pasukan yang betul-betul melaksanakan amar makruf nahi mungkar.
Firman Allah :
“ Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah. Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya. ”
Kita sebagai umat Islam yang prihatin dan bertanggungjawab perlu melaksanakan tuntutan yang diperintahkan oleh Allah. Tuntutan tersebut perlu dilaksanakan dengan pelbagai cara atau bentuk. Salah satu cara atau bentuk bagi melaksanakan amar makruf nahi mungkar ialah dengan menjadikan budaya menulis sebagai tanggungjawab melaksanakannya.
Melalui penulisan kita dapat menyampaikan kebaikan yang perlu dilakukan dan keburukan yang perlu dijauhkan. Kita seharusnya menjadikan bidang penulisan ini sebagai medan dakwah kita. Medan untuk kita berkata-kata dan berbicara perkara yang hak dan perkara yang batil. Hal ini kerana, kemungkaran yang berlaku sangat berleluasa umpama virus yang menyerang komputer.
Bermacam-macam cara kita dapat menyampaikan amar makruf nahi mungkar melalui penulisan. Antaranya ialah melalui penulisan artikel yang mana kita dapat muatkan atau paparkan dalam majalah, akhbar ataupun dalam internet. Sebagai contoh yang dapat kita ambil di sini ialah kritikan dan teguran yang dilakukan oleh saudara Faisal Tehrani melalui internet terhadap satu filem di Malaysia . Beliau menegur dan menghina filem yang diarahkan oleh Yasmin Ahmad yang mana terdapat banyak perkara yang bercanggah dengan syariat Islam.
Kita juga boleh menyampaikan penulisan melalui rencana atau berita. Memandangkan banyak penulisan sekarang terutama yang berbentuk berita banyak yang menyeleweng dari perkara yang sebenar. Justeru, kita sebagai orang yang faham dan mengetahui hakikat yang mana benar dan yang mana salah perlu menyampaikan dengan sedaya upaya agar masyarakat tidak berada dalam dilema pendustaan dan kejahilan.
Selain itu, penulisan melalui teks atau karangan iaitu melalui penerbitan buku dan kitab-kitab juga dapat melaksanakan amar mafruf nahi mungkar. Contoh buku dan kitab yang terkenal ialah Fiqh Sirah hasil tulisan Syed Ramadhan Al-Buti, Ala Toriq ad-Dakwah hasil tulisan Ustaz Mustafa Masyhur, buku hasil pemikiran Al-Maududi dan sebagainya.
Melalui budaya menulis ini kita dapat memahamkan orang yang masih tidak faham dan orang yang tidak mahu faham tentang Islam. Walaupun yang memberi kefahaman adalah yang Maha Kuasa, namun pokok pangkalnya kita sebagai hamba Allah yang faham tentang Islam perlu berusaha dalam menyampaikan kefahaman tentang Islam kepada manusia.
Firman Allah :
“ Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahitkan bagi manusia (supaya) kamu menyuruh dengan makruf dan melarang dari yang mungkar. ”
Dalam melaksanakan amar makruf nahi mungkar, kita tidak perlu rasa gentar dengan pelbagai ancaman dan cabaran. Kita perlu berani menegakkan kebenaran. Lumrah dalam berdakwah ada rintangan dan penghalangnya. Masyarakat hari ini perlu disedarkan dari kelalaian dan kesedaran. Maka, melalui budaya menulis dapat menyedarkan manusia yang terus lalai dan leka dibuai arus budaya hedonisme. Bukan sahaja pembaca, malah sekaligus dapat menyedarkan dan mengingatkan kepada penulis sendiri tentang perkara yang disampaikan kepada pembaca.
Budaya menulis ini kita perlu terapkan dan tanamkan kepada generasi muda agar bidang penulisan ini menjadi salah satu medan untuk kita melaksanakan amar makruf nahi mungkar. Kita mengharapkan usaha-usaha penulisan dapat dipergiatkan lagi dan diteruskan serta dapat melahirkan penulis-penulis Islam yang mampu berperanan melalui ketajaman penanya untuk melaksanakan amar makruf nahi mungkar serta melihat Islam kembali dihayati dalam erti kata yang sebenar.
Ummi Najibah Bt Tanuri
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya
Pada saya, berdakwah melalui medium internet seperti berblog juga salah satu cara penyampaian maklumat. Zaman sekarang ilmu tanpa sempadan. ilmu di hujung jari saja. mudah. canggih. cepat.
Jadi, gunakan peluang dan teknologi yang ada untuk kita terus berdakwah..
Gunakan gaya penyampaian yang mudah difahami, tidak terlalu 'berat', santai dan menarik...
Jom berblog!!!!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment