Showing posts with label palestin. Show all posts
Showing posts with label palestin. Show all posts

Thursday, February 26, 2009

Kisah perempuan miskin, lembu tua dan Gaza


Kisah penderitaan dan keperitan yang dilalui oleh penduduk Gaza tersebar ke seantero dunia. Semua marah, benci, kesumat dan mendidih pedih. Lebih banyak yang terasa sayu dan terharu apabila kanak-kanak kecil nan comel menjadi korban muntahan peluru dan darah membasah bumi tanpa henti.

Tragedi dasyhat ini juga sampai juga ke pengetahuan seorang perempuan tua yang hidup miskin di salah sebuah kampung di Yaman. Sama seperti orang lain, dia juga turut sedih dan pilu sehingga berjurai air mata.
Lantas suatu hari, dia berazam sedaya upaya untuk cuba membantu sekadar mampu. Kebetulan , 'harta' yang dia ada hanyalah seekor lembu tua, terlalu uzur, kurus dan sudah tidak bermaya.

Dengan semangat tinggi dan perasaan simpati amat sangat, dia berhajat menyedekahkan lembunya itu kepada penduduk Gaza lalu berjalan kaki dari rumah pergi ke salah sebuah masjid di Yaman sambil memegang lembu tunggal kesayangannya itu.
Kebetulan hari itu Jumaat dan para jemaah sudah mengerumuni pekarangan masjid untuk melaksanakan ibadat tersebut.

Ketika itu, betapa ramai yang memerhati dan menyorot mata melihat gelagat perempuan tua nan miskin dengan lembunya yang berada di sisi luar masjid. Ada yang mengangguk, ada yang menggeleng kepala. Tanpa kecuali ada juga yang tersenyum sinis malah terpinga-pinga melihat perempuan miskin itu setia berdiri di sisi lembunya.
Masa berlalu, jemaah masjid walaupun khusyuk mendengar khutbah imam namun sesekali memerhati dua mahkhluk tuhan itu. Perempuan dan lembu itu masih di situ tanpa ada cebis rasa malu atau segan diraut wajah.

Setelah imam turun dari mimbar, solat Jumaat kemudiaannya dilakukan, biar dibakar terik mentari dan peluh menitis dan memercik di muka, perempuan dan lembu tua itu masih lagi di situ.

Sebaik selesai sahaja semua jemaah solat dan berdoa, tiba-tiba perempuan itu dengan tergesa-gesa mengheret lembu itu betul-betul di depan pintu masjid sambil menanti dengan penuh sabar tanpa mempedulikan jemaah yang keluar. Ramai juga yang tidak berganjak dan perasaan ingin tahu, apa bakal dilakukan oleh perempuan tua itu.
Tatkala keluar imam masjid, perempuan tua itu bingkas berkata :" Wahai imam, aku telah mendengar kisah sedih penduduk di Gaza. Aku seorang yang miskin tetapi aku bersimpati dan ingin membantu. Sudilah kau terima satu-satunya lembu yang aku ada untuk dibawa ke Gaza, beri kepada penduduk di sana."

Gamam seketika. Imam kaget dengan permintaan perempuan itu namun keberatan untuk menerima. Ya, bagaimana nak membawa lembu tua itu ke Gaza, soal imam itu. Keliling-kelalang para jemaah mula bercakap-cakap. Ada yang mengatakan tindakan itu tidak munasabah apatah lagi lembu itu sudah tua dan seolah-olah tiada harga.

"Tolonglah.. bawalah lembu ini ke Gaza. Inilah saja yang aku ada. Aku ingin benar membantu mereka," ulang perempuan yang tidak dikenali itu. Imam tadi masih keberatan.Masing- masing jemaah berkata-kata dan berbisik antara satu sama lain. Semua tertumpu kepada perempuan dan lembu tuanya itu.

Mata perempuan tua yang miskin itu sudah mula berkaca dan berair namun tetap tidak berganjak dan terus merenung ke arah imam tersebut. Sunyi seketika suasana.
Tiba-tiba muncul seorang jemaah lalu bersuara mencetuskan idea:" Tak mengapalah, biar aku beli lembu perempuan ini dengan harga 10,000 riyal dan bawa wang itu kemudian sedekahkanlah kepada penduduk di Gaza.
Imam kemudiannya nampak setuju. Perempuan miskin yang sugul itu kemudian mengesat-ngesat air matanya yang sudah tumpah. Dia membisu namun seperti akur dengan pendapat jemaah itu.

Tiba-tiba bangkit pula seorang anak muda, memberi pandangan yang jauh lebih hebat lagi:"Apa kata kita rama-ramai buat tawaran tertinggi sambil bersedekah untuk beli lembu ini dan duit itu nanti diserahkan ke Gaza?"

Perempuan itu terkejut, termasuk imam itu juga. Rupa-rupanya cetusan anak muda ini diterima ramai. Kemudian dalam beberapa minit bidaan itu pun bermula dan ramai kalangan jemaah berebut-rebut menyedekahkan wang mereka untuk dikumpulkan.
Ada yang membida bermula dari 10,000 ke 30,000 riyal dan berlanjutan untuk seketika. Suasana pekarangan masjid di Yaman itu menjadi riuh, apabila jemaah membida 'bertubi-tubi' sambil bersedekah.

Akhirnya lembu tua, kurus dan tidak bermaya milik perempuan tua miskin itu dibeli dengan harga 500,000 riyal (sekitar RM500,000.00) !
Semua melalui bidaan para jemaah dan orang ramai yang simpati dengan penduduk Gaza termasuk niat suci perempuan miskin itu. Paling manis, setelah wang itu diserahkan kepada imam masjid itu, semua sepakat membuat keputusan sambil salah seorang jemaah bersuara kepada perempuan tua itu.

"Kami telah membida lembu kamu dan berjaya kumpulkan wang sejumlah 500,000 riyal untuk memiliki lembu itu.
"Akan tetapi kami telah sepakat, wang yang terkumpul tadi diserahkan kepada imam untuk disampaikan kepada penduduk Gaza dan lembu itu kami hadiahkan kembali kepada kamu," katanya sambil memerhatikan perempuan tua nan miskin itu kembali menitiskan air mata...gembira.

Tanpa diduga, Allah mentakdirkan segalanya, hajat perempuan miskin itu untuk membantu meringan beban penderitaan penduduk Palestin akhirnya tercapai dan dipermudahkan sehingga berjaya mengumpulkan wang yang banyak manakala dia masih lagi terus menyimpan satu-satunya 'harta' yang ada. Subhanallah.
Justeru, iktibarnya ialah segala niat murni yang baik sentiasa mendapat perhitungan dan ganjaran Allah apatah lagi ianya datang daripada hati kecil seorang yang miskin yang mahu membantu umat islam yang menderita akibat dizalimi rejim zionis israel biarpun diri serba payah dan serba kekurangan

(Kisah ini telah disusun semula daripada cerita Timbalan Mursyidul Am PAS Dato' Haron Din kepada Harakahdaily melalui kisah benar yang dipaparkan di sebuah majalah Arab)

Sunday, January 18, 2009

TaYangaN Palestin



Assalamualaikum

SAKSIKAN TAYANGAN PALESTIN 'KENAPA AKU DIBUNUH'

PADA : 23 JAN 09

TEMPAT: STADIUM SULTAN MUHAMMAD KE4, KOTA BHARU

JAM : 9 MLM

KEPADA SEMUA RAKYAT KELANTAN KHUSUSNYA WARGA KOTA BHARU, JOM SAMA-SAMA KITA CAKNA ISU PALESTIN.

Thursday, January 15, 2009

Bagaimana bermulanya Israel menguasai Palestin


Ketika rencana ini ditulis kita tidak tahu bagaimana akhrnya nasib penduduk Gaza, Palestin yang sedang dikepung, diseksa dan dibunuh oleh rejim Israel, pada ketika yang sama pemimpin dunia Islam, khususnya dunia Arab, hanya 'terkebil-kebil' mendengar dan melihat penyeksaan rejim Yahudi ini di kaca TV.


Kutukan demi kutukan dari pemimpin umat Islam, dari anggota OIC dan NGO-NGO hak-hak asasi manusia. Sementara Kesatuan Eropah dan Bangsa-Bangsa Bersatu serta Amerika hanya meminta tentera Israel tidak menyerang kawasan penduduk awam, ertinya bolehlah menyerang untuk sasaran militan Arab di Gaza saja.

Ulang tayang

Peristiwa serangan ini adalah ulangan tindakan Israel sejak puluhan tahun lalu dan hingga kini, iaitu sejak zaman Presiden Richard Nixon, malah sebelum itu lagi, hingga zaman Barack Obama yang sesetengah orang diharapkan ada perubahan.

Kini serangan itu berterusan, ratusan rakyat Gaza terbunuh setiap hari, mayat bergelimpangan, bangunan runtuh, hospital musnah, tidak ada jalan keluar bagi rakyat Gaza untuk mendapatkan makanan.

Mesir juga menutup sempadannya untuk tidak membenarkan pelarian Palestin tumpah lagi ke negara itu. Syria, Libya, Jordan dan negara Arab lain tidak lagi mampu menerima pelarian yang berjumlah berjuta-juta banyaknya.

Ini adalah episod yang sangat mememilukan, sebuah tragedi kemanuiaan yang tidak ada tandingannya, bahkan tragedi kemanusiaan ini melebihi pembunuhan Nazi Jarman terhadap orang Yahudi di Eropah.

Tidak ada siapa yang ditakuti oleh rejim Tel Aviv sekarang, justeru kerana Amerika, di bawah presiden barupun tetap menyokong mereka. Malah Amerika terus menerus melindungi kepentingan Yahudi.

Maka jadilah rakyat Paletin di Gaza itu 'bahan ratahan' tentera Israel. Anak-anak muda Palestin meluru ke jalan-jalan raya melemparkan batu ke arah tentera dan keretakebal Israel, lalu dari muncung kereta kebal Israel itu memuntahkan peluru meriam yang membunuh mereka dengan mudah.

Bayangkan bagaimana anak-anak muda Palsetin yang hanya bersenjatakan batu di tangan boleh melawan tentera Israel dengan segala peralatannya. Namun itulah yang terjadi. Inilah pemandangan ngeri yang berterusan disaksikan oleh masyarakat antarabangsa seluruh dunia.

Adakah harapan buat Obama?

Adakah rakyat Palestin ini mempunyai masa depan? Ini pertanyaan yang sangat sukar dijawab, walaupun daripada pakar mengenai Asia Barat sendiri. Memang ada sesetengah pihak mengharapkan Obama yang berkulit hitam itu melakukan sesuatu dalam menyelesaikan isu Palestin, namun nampaknya rejim tentera Tel Aviv, pimpinan Menteri Pertahanannya yang sangat ganas, Ehud Barat, tidak mungkin bersedia menghentikan serangannya. Ini kerana dia tahu, Amerika dan sekutunya akan terus menyokong Israel.

Jika begitu keadaannya, bagaimana masalah ini dapat diselesaikan? Israel menuduh para pejuang Hamas melancarkan roket di kawasan Israel, ada yang mengena sasaran dan ada yang tidak. Namun hujan roket dari Israel, di samping meriam kereta kebal mereka terus menerus membunuh rakyat Palestin.

Sementara itu bagaimana sikap pemimpin umat Islam, khususnya pemimpin dunia Arab? Selagi mereka masih kekal dengan sikap assobiyah Arab mereka, tidak bersatu atas nama Islam untuk memerangi rejim Yahudi, maka tidak mungkin rejim itu boleh berundur.

Kerdilnya negara Arab

Bayangkan setiap tahun negara Arab membelanjakan beratus bilion dollar Amerika untuk membeli senjata api tercanggih dari pelbagai negara Barat, khususnya Amerika. Namun negara Arab tidak juga mampu memperlihatkan kekuatan tentera mereka untuk menghadapi Israel.

Akhirnya negara Arab hanya menjadi 'pengguna' setia senjata moden Barat, sementara senjata itu tidak juga menolong memperlihatkan 'izzah' (keunggulan, kehebatan) negara Arab sehingga menggerunkan Israel.

Inilah yang berlaku terus menerus, pada ketika yang sama, siapapun yang menjadi Presiden Amerika, negara itu terus melindungi kepentingan Israel.

Benarlah kata ulama tersohor, Sayyid Hasan Ali An-Nadawi dalam bukunya Kerugian Dunia Kerana Kemunduran Umat Islam bahawa negara umat Islam perlulah memiliki ilmu dan kekuatan senjata yang cukup disertai kemajuan teknologi supaya dengan kekuatan itu mereka mampu memimpin dunia.

Malangnya, kata An-Nadawi, hampir semua kekuatan ini kini tidak dimiliki oleh umat Islam, pada hal di zaman dulu, umat Islamlah yang memiliki semua kekuatan ini. Kini, katanya, pemimpin negara Arab hanya memikirkan kepentingan negara masing-masing, dilatari oleh sikap assobiyah, atau perkauman Arab yang semakin menebal.

Perlu diingat, kata An-Nadawi lagi, sikap ini menyebabkan runtuhnya Daulah Islamiyah Turki pada tahun 1924, iaitu di tengah-tengah Assobiyah Arab yang tebal itu, ia bertembung pula dengan assobiyah Turki kerana ketika itu Turki juga sangat angkuh dan merasakan ia adalah bangsa besar. Inilah kesan buruk yang dialami sehingga keadaan menjadi begini.

Mula tergadai

Sementara itu, ketika menyaksikan penyiksaan dan pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin oleh rejim Irael itu, kita teringat bagaimana mulanya tanah atau bumi Palestin ini tergadai dan dijual kepada Palestin.

Pada zaman pemerintahan Sultan Abd Hamid II, Sultan Turki terakhir, telah digubal undang-undang dan disahkan di Parlimen Turki bahawa semua tanah yang dimiliki oleh orang Arab di Palestin (ketika itu di bawah riayah Daulah Othmaniyah Turki) dilarang dijual kepada Yahudi.

Ini menimbulkan kemarahan British dan Perancis, justru kerana dua negara Eropah itu mahu memperkukuh kedudukan masa depan Yahudi di negara Palestin.

Namun setelah kejatuhan Daulah Othmaniyah Turki, undang-undang itu dimansuhkan oeh Kemal Attaturk yang merampas kuasa. Lalu dengan pantas orang Yahudi di Palestin berebut-rebut membeli tanah orang Arab di sana, sementara orang Arab Palestin itu sendiri rela pula menjual tanah mereka.

Dengan itu banyak tanah hak milik Arab Palestin bertukar tangan menjadi hak milik Yahudi hingga kini.

Tanah itu kini didiami oleh orang Yahudi, ditambah pula wujudnya penempatan baru, iaitu tanah yang dirampas dari rakyat Palestin sendiri. Demikianlah sejarah hitam bumi Palestin.

Maka itu ketika Israel menguatkan cengkamannya di bumi para anbia ini, dalam usaha mereka hendak menghapuskan rakyat Palestin, wajar kita merenung semua sejarah pahit ini. Namun pandangan An-Nadawi ini sangat wajar diberikan perhatian.

sumber: harakahdaily.net

Wednesday, January 14, 2009

Mujahidin Palestin


Aku amat mencemburuimu Mujahidin Palestin
Kamu dipilih ALLAH mempertahan tanah suci
Kamu terpilih mempertahan masjid suci

Bau syurga dapat kau rasai
Kamu mati tapi sebenarnya kamu masih hidup
Mati syahid cita-cita tertinggi kamu

Apakan daya aku hanya mampu berdoa
Aku hanya mampu menghulurkan derma
Aku sekadar mampu memboikot

Jika kamu di ambang syurga
Doakan kami dapat bersamamu

Islam akan tetap terpelihara
ALLAH akan memelihara Islam dan Al-Quran
Tapi diri kita, kita sendiri yang menentukan
Baik atau buruk, syurga atau neraka

Monday, January 12, 2009

Palestin : Apa Usaha Kita ?



Setiap hari membelek berita berkenaan Palestin, setiap hari rasa pedih dan adakalanya terasa seolah tidak mahu mendengar sebentar laporan berita berkenaannya kerana sukar menahan rasa sakitnya.

Sudah hari kesepuluh dan serangan semakin ganas. Sekitar 550 orang Palestin telah diragut nyawanya termasuk kanak-kanak dan wanita serta orang awam, manakala seramai 2500 lagi cedera. Bekalan ubatan, makanan dan perkara asas semakin kurang. Hospital dan doktor amat terhad dan laporan berita menyatakan ada doktor yang tidak sempat tidur sama sekali.

Palestin pula telah terbahagi kepada tiga bahagian, kiri dan kanan telah mula ditembusi oleh Yahudi, hanya bahagian tengah masih belum berjaya ditembusi. Jelas, mereka sedang melakukan penjajahan secara fizikal dan menghilang Palestin dari peta dunia.!

Persoalan utama sekarang, apa lagi yang boleh bantu yang benar-benar dikira membantu?? Satu soalan yang saya sendiri turut kerap menyoal diri ini. Saya tiada jawapan yang melegakan, atau jawapan yang membuatkan anda terperanjat kerana ‘di luar kotak'.

Namun bagi saya, kita semua boleh membantu berdasarkan rasa kemampuan masing-masing. Siapa boleh lebih, buat lebih, siapa hanya mampu yang kurang, buat jugalah.

Keadaan manusia yang berbeza-beza dalam kemampuan ini diiktiraf sendiri oleh Nabi akan kewujudannya. Justeru, jangan harapkan semua orang mampu menjadi terlalu ‘berani seperti anda, terlalu ‘pemurah' seperti anda, terlalu ‘berjasa' seperti anda.

Nabi s.a.w bersabda dalam hadis yang sangat popular :-

Erti : Sesiapa yang melihat kemungkaran, hendaklah ia mencegah dengan tangannya, barangsiapa yang tidakmampu, cegahlah dengan lisannya (perkataan dan tulisan), barangsiapa yang tidak mampu, cegahlah dengan hatinya (iaitu dengan rasa benci)"

USAHA KITA : PILIHLAH

Natijahnya, pilihlah salah satu atau lebih dari satu dari tindakan di bawah untuk membantu saudara kita di Palestin yang dijajah dan Palestin yang sedang cuba dijajah.

1) Bantuan tenaga dan diri ; Pergilah ke medan di Palestin, jika anda ada cara, kemampuan dan keikhlasan. Sama ada untuk membantu menghantar bantuan kemanusian, perubatan, psikologi atau yang lebih dahsyat dari itu dari segi fizikalnya..

2) Bantuan Harta : Bagi yang tidak mampu pergi ; sumbanglah bantaun kewangan atau pakaian dan lainnya kepada badan yang dipercayai lagi berwibawa di tempat anda. Agar bantuan tersebut boleh sampai kepada rakyat Palestin yang sedang menderita. Cuaca sejuk kini tidak menentu, di UK kami ditimpa cuaca sejuk luar biasa sehingga (negatif 10) atau -10 darjah celcius. Palestin juga berada dalam cuaca sejuk, sekitar di bawah 10 celcius di sebelah malam

3) Bantuan Doa ; Bagi yang tidak mampu memberi kedua-dua bantuan di atas, atau termasuk juga merkea yang mampu, teruskan berdoa untuk keselamatan rakyat Palestin, Iraq dan umat Islam, doakan bala bagi Yahudi, pemimpin Amerika dan rakyatnya yang menyokong, pemimpin Mesir dan sekutunya-sekutu mereka yang membuka jalan dan menyokong serangan pengganas Yahudi ini.

Doa anda boleh bacanya sebagai :-

a- Qunut Nazilah dalam setiap solat fardhu anda, anda dibenarkan untuk memegang kertas doa semasa qunut tersebut kerana tentunya sukar untuk menghafalnya. Itu tidak membatalkan solat dalam semua mazhab termasuk mazhab Syafie kerana andatidak bergerak besar berturut-turt sebanyak tiga kali. Hanya angkat sekali kertas doa, berhenti sebenar kerana membaca, kemduain terus turun sujud, tiada berturut-turut.

b- Doa semasa sujud dalam setiap solat. Ia lebih maqbul berdasarkan nas yang sohih.

c- Khatib bacalah doa untuk Palestin di hujung khutbah Jumaat.

d- Dan banyak lagi waktu doa maqbul.

4) Solat Hajat ; Bagi mereka yang berpegang kepada bolehnya dilakukan solat hajat sama ada secara individu atau berjemaah. Anda turut boleh meneruskannya.

5) Menyertai Demonstrasi Aman : Sertailah ia dengan aman dan makmurkannya, namun jangan lupa juga memakmurkan masjid di kala Subuh dan waktu-waktu lain.

6) Menulis ; Tulislah di blog, web, forum anda, ruangan akhbar, majalah yahoogroup dan lainnya, buatkanlah kajian ringkas dan permudahkan penyampaian info kepada orang ramai berkenaan kezaliman Yahudi terhadap Palestin dan sekutu-sekutu mereka.

7) Ceramah ; anda mampu ceramah? berikanlah ceramah berkaitan isu ini atau hadirkanlah diri ke ceramah berkaitannya di tempat anda.Anda tidak semestinya seorang ustaz/ah untuk ceramah dalam bab ini, wartawan pun boleh.

8) Boikot : perkukuhkan boikot barangan Yahudi dan Amerika di ketika ini. Hantarlah surat dan bantahan, petition, memorandum kepada kedutaan Amerika, Mesir dan sekutu jahat mereka. Pelajar Al-Azhar, kami mendambakan tindakan dan usaha anda terhadap kerajaan Mesir.

TINGKATKAN KEPEDULIAN

Tingkatkan kepedulian kita terhadap nasib saudara kita umat Islam.

Jangan dirasakan usaha kita sangat kerdil, tidak mampu memberi sebarang kesan. Yakinilah bantuan Allah, sangka baiklah dengan Allah, nescaya Allah bersama hambaNya yang bersangka baik dan taatinya.

Sebagai sebuah hadis qudsi ertinya:

أنا عند ظن عبدي بي ، وأنا معه إذا ذكرني

Allah menyebut : aku berada di atas sangkaan hamba-hambaKu, dan aku bersama mereka apabila mereka mengingatiKu (Riwayat Muslim)

Sebahagian riwayat lain pula berbunyi :-

أنا عند ظن عبدي بي إن ظن خيرًا فله وإن ظن شرًا فله

Erti : aku berada di atas sangkaan hamba-hambaKu, sekiranya mereka bersangka baik, maka akan ditunaikan, jika mereka bersangka buruk, turut akan ditunaikan ( Riwayat Ahmad, Ibn HIbban)


AMERIKA SUDAH SAKIT, BERIKAN HADIAH KEEGOANNYA!

Keegoan dan keangkuhan Amerika dalam bidang ekonomi sedang jatuh merudum, hari ini berita BBC melaporkan Presiden dipilih, Barrack Obama mengatakan ekonomi USA sedang ‘SANGAT SAKIT' dan sangat serius masalahnya.

Rakyat Amerika yang kehilangan kerja semakin ramai. Obama sedang pening kepala masa plannya untuk USA, Bush bukan main seronok dengan Yahudinya.

Jualan kereta di US pula kini diratah serangan virus kegawatan ekonomi apabila jualannya jatuh paling teruk sejak 1992. Jualan di pasaran Detroit Three jatuh 50 % buat pertama kalinya. Chrysler pula rugi dengan kejatuhan jualan sebanyak 53 % ,manakala jualan Toyota, Honda, GM dan Ford jatuh 31 ke 37 peratus.

Seorang rakan warganegara Amerika di sini memberitahu kami bahawa Bush sedang merancang Amerika menyertai perang, itu adalah salah satu jalan agar perlantikan rasmi Obama sebagai Presiden UA pada 20 Januari 2009 terpaksa ditangguh, kerana demikian menurut undang-undangnya. Iaitu jika US sedang dalam peperangan, Presiden yang sedang menerajui akan kekal. Kami tiadalah mengetahui sejauh mana benarnya ramalan atau analisa ini. Cuma ini mungkin salah satu sebab Obama dan rakannya, senyap sunyi menggelak dari memberi komen dalam isu Palestin.

Namun saya kira, mungkin hasrat Bush sedikit terganggu kerana untuk berperang Amerika perlukan berbillion US, bagaimana ia boleh sedang dalam ekonomi yang sanagt sakit dan teruk.?

MUJUR BRITAIN SEDANG PARAH, TAK LARAT BERSUARA

Kalau sebelum ini yang tidak kurang bengisnya adalah Britain, sebagaimana dalam kes Iraq, namun, kini UK agak senyap sunyi sikit, Alhamdulillah. Mengapa?

Jika Amerika sedang merudum dengan laju teruknya, UK setiap hari berita parahnya semakin menjalar, sehingga nilai Pound Sterling jatuh menjunam hampir sama malah pernah lebih rendah daripada matawang Euro. Kes buang kerja tidak henti-henti, pasaraya dan syarikat besar satu demi satu bungkus seperti Woolworths, MFI dan banyak lagi, menghidangkan kebanjiran pengganggur. Ditambah dengan cuaca sejuk luar biasa, Sehingga kami yang berada di sini turut bimbang.

Dan pada 6 Jan, Gordon brown bersetuju dengan cadangan rencatan senjata kedua belah pihak tetapi mengikut skima Bush, iaitu dengan pelbagai syarat yang tidak menyebelahi Palestin dan Hamas tentunya. Malah sebahagian syarat ini tidak mungkin dapat ditunaikan.

sumber:www.zaharuddin.net

Thursday, January 8, 2009