Thursday, October 16, 2008

"Tabung Azan"


Syed Ali pertahan 'Tabung Azan'

Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee menjelaskan bahawa antara tujuan utama penubuhan 'Tabung Azan' adalah untuk membiayai dan melatih muazzin (bilal) muda untuk melaungkan azan di surau dan masjid.

"Kita nak beritahu mereka (DAP) bahawa kita mampu membentuk dan melatih muazzin muda kerana kita rasa tercabar orang yang mempertikaikan laungan azan," kata Syed Ali ketika dihubungi Malaysiakini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan seorang wakil rakyat DAP yang menyifatkan tindakan Umno bahagian Cheras melancarkan 'Tabung Azan' sebagai satu gimik dan mendakwa Umno masih tidak putus asa untuk memainkan sentiman perkauman dan agama.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kampung Tunku, Lau Weng San juga berkata tindakan menubuhkan tabung tersebut juga merupakan bukti terdapat segelintir anasir negatif dalam Umno yang masih ingin mewujudkan sesuatu yang telah terbukti tidak pernah berlaku.

Sebaliknya, kata Syed Ali, pihaknya rasa terpanggil dan rasa bertanggungjawab untuk membantu surau dan masjid menyediakan pembesar suara bagi melaungkan azan kerana ianya adalah sebahagian daripada syiar agama Islam.

"Kita nak cari duit. Kenapa nak laungkan azan tak boleh. Ini Malaysia, sebuah negara Islam.

"Dan kita nak naikkan semangat orang Islam," kata Syed Ali.

Tambah Syed Ali lagi, beliau mensasarkan untuk mengutip derma RM30 juta sebagai usaha untuk memberitahu DAP pihaknya mampu berbuat demikian.

"Untuk tunjuk kepada (ahli Parlimen Seputeh) Teresa (Kok), orang Melayu nampak kuat," jelas Syed Ali lagi.

Ekoran itu, katanya, wang yang terkumpul adalah untuk membeli peralatan surau dan pembesar suara serta diberikan di surau-surau.

Ditanya mengenai laporan sebelum ini menyebut penubuhan tabung itu juga bertujuan untuk membantu Utusan yang disaman oleh Teresa, beliau berkata sebarang sokongan terhadap tersebut adalah dalam bentuk sokongan moral.

Katanya ini kerana Utusan merupakan kumpulan media yang besar dan mampu menyediakan sumber kewangan sendiri untuk membela diri.

Menurut Syed Ali lagi, beliau berusaha untuk mencari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam yang boleh mentadbir dan menguruskan tabung tersebut bagi mencapai hasrat dan tujuan beliau tersebut.

petikan : malaysiakini.com

penulis:

Kewujudan tabung azan ini secara positifnya dapat membantu menambahkan dana untuk membeli peralatan surau dan speaker yang baru. Memang bagus cadangannya.

Tapi sejauh manakah usaha ini dalam mengimarahkan masjid-masjid yang tersergam indah , berharga ribuan ringgit dan surau-surau di sekitar kg dan taman?

Kita lihat pada hari ini kewujudan masjid-masjid indah dan cantik bagai cendawan tumbuh selepas hujan..
Persoalannya, apakah pengisian dan aktiviti dalam memaksimumkan penggunaan masjid ini kepada masyarakat kita.? masjid bukan sahaja untuk solat fardhu semata-mata, malah banyak kegunaannya.boleh digunakan untuk belajr mengaji, buat ceramah, aktiviti kemasyarakatan, seminar-seminar dll.

Saya berasa sedih bila singgah di suatu masjid yang agak besar dan cantik ketika pulang ke kg, tetapi alangkah sedihnya, bil jemaah yang hadir kurang memuaskan. Kemudahan mengambil wudu' untuk wanita tidak memuaskan..Tidak dihadang dengan tabir atau something. Jadi Muslimat terpaksa mengambil wudu' di tandas demi menjaga aurat mereka..Sedihnya situasi ini..

No comments: